Cross-Cultural Conversations

Observations by a Malaysian studying in Australia

Wednesday, June 09, 2004

Malay Blog - Hal Ucapan

 

Di kolej saya, setiap hari Khamis, seluruh sekolah akan menghadiri (lebih tepat diubah kepada ‘diwajibkan menghadiri’) perhimpunan di dewan besar.

 

Seperti mana yang lazim di mana-mana majlis perhimpunan, baik Perhimpunan Agung UMNO mahupun Perhimpunan Antara Kawan, komponen yang paling penting, dan yang memakan paling banyak masa dalam perhimpunan kami, ialah ucapan. Dan, seperti mana yang sering terjadi di kebanyakan majlis perhimpunan, ucapan yang disampaikan sangat membosankan.

 

Setahu saya, dalam sejarah kita tidak banyak ucapan yang berupaya menggarap perasaan si pendengar seperti mana yang diharapkan si yang berucap. Adalah satu dua ucapan yang berjaya menangkap perhatian saya – ucapan Belanjawan Anwar Ibrahim, yang penuh dengan lawak jenaka dan perkataan Bahasa yang sebelum ini tak pernah saya ketahui; ucapan Dr Mahathir yang, walaupun nada dan rentak penyampaiannya tidak begitu menarik tetapi isi kandungannya amat berat dan bermakna sekali; dan beberapa lagi yang nama si yang berucap saya tak tahu.

 

Lazimnya, kebanyakan orang, malangnya, tidak dikurniakan bakat untuk berucap di depan orang ramai. Mereka hanya membaca ucapan yang ditulis (kadangkala ditulis oleh orang lain) dan tidak mendalami apa yang diucap. Kalau orang yang berucap itu sendiri tidak dapat mendalami ucapannya, macam mana pula kita yang terpaksa mendengarnya?

 

Ini ditambah pula dengan kegemaran (tendency) oleh orang yang berucap untuk bercakap dengan kepantasan seekor siput babi. Ini nampaknya satu musibah yang hanya dialami oleh rakyat Malaysia. Rakyat negara lain, baik Indonesia, Amerika Syarikat, Jerman, Perancis mahupun China, bercakap dan berucap dengan laju sekali. Hanya orang kita yang gemar mengambil (membuang) masa dengan bercakap amat lembap sekali.

 

Kebosanan ini ditambah lagi dengan adat kita yang terlalu mementingkan status, amat padan dengan mentaliti elitis masyarakat Malaysia. Tidak sah ucapan, jikalau tidak dimulakan dengan “Tun- Tun, Toh Puan Toh Puan, Tan Sri Tan Sri, Puan Sri Puan Sri, Datuk Seri Datuk Seri, Datuk Datuk, Datin Datin dan Tuan Tuan dan Puan Puan sekalian.” Alangkah panjangnya! Itu belum lagi diambil kira kalau ada kerabat diraja yang hadir. Jikalau ada, maka makin memanjang lebarlah pembuka tirai ucapan itu.

 

Kadangkala terasa seperti pembuka tirai itu lebih panjang daripada ucapan itu sendiri. Tidak boleh ke jikalau kita menggelar semua yang hadir sebagai Tuan Tuan dan Puan Puan? Adakah tetamu- tetamu yang berpangkat itu akan merasa terkilan dan kecil hati jikalau darjah kebesaran mereka tidak dihebohkan kepada seluruh khayalak yang hadir?

 

Saya rasa sudah tiba masanya kita melaksanakan anjakan paradigma (ini satu frasa yang amat dicintai guru Bahasa saya, walaupun saya sendiri tidak berapa berkenan menggunakannya) dan mengubah cara kita menyampaikan ucapan. Kalau tidak, saya akan sentiasa tertidur semasa sedang mendengar ucapan. Dan saya yakin saya tidak keseorangan dalam hal ini.

posted by: Tembaga2 at 23:50 | link | comments (2) |

 

About me

User: Tembaga2
Busy trying to be lazy

  • Contact me
  • My profile
  • Linkme

Recent comments

Links

 

Counter

visited *loading* times